top of page

[Vol.4.1] AKTA PENCEGAHAN DAN PENGAWALAN 

Updated: Apr 19, 2021

KEPERLUAN DAN IMPLIKASI KEPADA SECTION 15(1) AKTA PENCEGAHAN DAN PENGAWALAN PENYAKIT BERJANGKIT 1988

Merujuk kepada kenyataan akhbar Kementerian Kesihatan Malaysia (“KKM”) bertarikh 15 Mac 2020, jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sekarang adalah sebanyak 428 kes termasuk 190 kes baru dimana kebanyakan kes-kes baru tersebut adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling.

Susulan kepada peningkatan jumlah kes COVID-19 yang mendadak, KKM telah memberi arahan bahawa peserta perhimpunan tabligh akan diletakkan di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (“Akta 342”).

Ia adalah satu perintah pengawasan dan pemerhatian selama 14 hari dari tarikh akhir mereka menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling atau kontak rapat kepada kes positif COVID-19 mengikut mana yang terkemudian.

Mengikut seksyen yang sama, mana- mana pegawai yang diberi kuasa boleh memerintahkan mereka untuk menjalani pengawasan dan pemerhatian di mana-mana tempat yang di fikirkannya patut sehingga mereka boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai.

Ini adalah salah satu usaha KKM yang proaktif bagi mengelakkan wabak COVID-19 menular atau dijangkiti dengan lebih meluas.

Walaubagaimanapun, usaha ini memerlukan kerjasama mereka.

Sepanjang mereka dibawah perintah ini, mereka dikehendaki mengasingkan diri daripada ahli keluarga yang lain umpama berada di bilik yang berasingan.

Sekiranya perlu berinteraksi dengan ahli keluarga, mereka dikehendaki untuk memakai penutup mulut dan hidung (“face mask”).

Mereka juga bertanggungjawab untuk mencatat nama, nombor telefon dan tarikh kunjungan ahli keluarga atau rakan yang datang menziarahi.

Namun, kunjungan itu sebaiknya dielakkan.

Pejabat Kesihatan Daerah (“PKD”) akan memberi pelepasan setelah mereka menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian dirumah selepas 14 hari dari tarikh akhir mereka terdedah kepada kes yang disahkan positif COVID-19.

Tambahan pula, mereka juga perlu memantau sebarang gejala jangkitan dan memeriksa suhu badan setiap hari selama 14 hari tersebut.

Perkara yang dilarang untuk dibuat adalah pertama, menanggalkan face mask apabila dikunjungi oleh ahli keluarga atau tetamu yang lain dan yang kedua, meninggalkan rumah kediaman beralamat di atas bagi tujuan membeli belah, bersiar-siar ke padang permainan atau ke tempat awam.

Selain itu, pemeriksaan mengejut akan dilakukan bagi memastikan perintah-perintah di atas dipatuhi dan kegagalan mematuhi perintah-perintah di atas boleh menyebabkan tindakan mahkamah dikenakan ke atas mereka.

Secara keseluruhan, jika mereka tidak mematuhi perintah ini dan sekiranya disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 24 Akta 342.

Seksyen tersebut mengenakan Penalti Am dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara tidak lebih 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Konklusinya, tindakan KKM mengeluarkan perintah ini terhadap mereka adalah perlu bagi membendung isu ini dan supaya keadaan di Malaysia akan lebih terkawal.

Bagi mengelakkan sebarang kekangan terhadap usaha proaktif ini, pihak yang terlibat terutama peserta perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling perlu memberi kerjasama kerana di dalam Islam juga menggariskan kaedah tertentu sebagai mengawal kesihatan penduduk sesuatu tempat iaitu apabila berlaku wabak atau penularan penyakit berjangkit di satu tempat, maka penduduk di tempat itu hendaklah dilarang keluar dan masuk supaya ia tidak merebak ke kawasan yang lebih besar.

Ini selari dengan sabda Rasulullah SAW,

“Jika kamu dengar berita suatu wabak taun berlaku di satu-satu tempat maka janganlah kamu memasuki tempat itu dan jika ia sedang berlaku di tempat kamu maka janganlah kamu keluar darinya.”

(HR Bukhari)


 

Note: This article does not constitute legal advice to any specific case. The facts and circumstances of each case will differ and, therefore, will require specific legal advice. Feel free to contact us for complimentary legal consultation.

12 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page