Kanak-kanak sering disifatkan sebagai golongan yang masih mentah dan sering terdedah dengan gangguan seksual bukan sahaja di sekolah, malah di pusat-pusat pembelajaran seperti pusat tahfiz, pusat tuisyen, dan tempat-tempat awam.
Saban hari masyarakat di negara ini sering digemparkan dengan kes-kes gangguan seksual di sekolah yang lama-kelamaan menjadi satu fenomena yang parah dan semakin sukar untuk dikawal.
Oleh itu, pihak-pihak yang tertentu terutamanya para guru di sekolah, ibu bapa, serta masyarakat sekeliling haruslah peka terhadap isu ini dan seterusnya memainkan peranan masing-masing untuk menangani masalah ini.
Apakah yang dimaksudkan dengan gangguan seksual?
Masyarakat haruslah memahami terlebih dahulu akan perbuatan yang membawa kepada gangguan seksual.
Secara umum, gangguan seksual boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tanpa menghiraukan jantina, namun lebih dikaitkan dengan wanita atau kanak-kanak perempuan.
Selain itu, gangguan seksual merupakan sesuatu perlakuan yang serius, sensitif, mengaibkan dan mengganggu keadaan psikologi dan emosi mangsa.
Hal ini adalah kerana gangguan seksual merupakan suatu bentuk perlakuan atau pertuturan yang berunsurkan seks atau lucah, keganasan atau ancaman yang dilakukan oleh mereka yang memiliki kuasa atau kekuatan fizikalnya terhadap golongan yang lemah terutamanya wanita dan kanak-kanak.
Perbuatan yang tergolong di bawah definisi gangguan seksual juga telah dijelaskan di bawah seksyen 14 (a) Akta Kanak-Kanak 2017, iaitu:
(a) menyentuh mana-mana bahagian badan seseorang kanak-kanak;
(b) membuatkan seseorang kanak-kanak menyentuh mana-mana bahagian badan orang itu atau bahagian badan mana-mana orang lain;
(c) membuatkan seseorang kanak-kanak menyentuh mana-mana bahagian badan kanak-kanak itu sendiri; atau
(d) melakukan apa-apa perbuatan lain yang melibatkan kontak fizikal dengan seseorang kanak-kanak tanpa persetubuhan.
Tambahan pula, huraian 1 di bawah seksyen yang sama memperuntukkan bahawa perbuatan menyentuh boleh melibatkan perbuatan menyentuh dengan menggunakan mana-mana bahagian badan atau dengan suatu objek dan boleh dilakukan melalui apa- apa sahaja .
Oleh itu, sesiapa sahaja tidak dibenarkan untuk memegang atau meraba mana-mana anggota badan seseorang bagi apa-apa tujuan atau maksud sekali pun.
Kecuali pihak yang mempunyai hak atau kuasa di dalam Akta seperti pihak polis bagi tujuan siasatan yang dibenarkan, dengan tatacara yang perlu dipatuhi.
Akta kesalahan kanak-kanak 2017
Pihak kerajaan juga telah mengambil satu inisiatif dengan menggubal satu Akta pada tahun 2017 iaitu Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017.
Penggubalan ini telah menunjukkan betapa kerajaan dan masyarakat di negara kita memandang serius terhadap isu perlindungan terhadap kanak-kanak yang merupakan pewaris negara pada masa hadapan.
Akta yang telah berkuatkuasa ini terpakai kepada semua kanak-kanak yang berumur di bawah lapan belas tahun.
Selain itu, kesalahan-kesalahan seksual di dalam Akta ini merangkumi kesalahan yang berhubung dengan pornografi kanak-kanak, pengantunan kanak-kanak, amang seksual dan lain-lain.
Gangguan Seksual di Sekolah
Isu gangguan seksual telah menjadi satu fenomena dalam kalangan pelajar di Malaysia.
Hal ini memberikan gambaran bahawa sekolah yang bertindak sebuah institusi yang murni dalam melahirkan modal insan yang berilmu dan berpekerti mulia turut tidak terkecuali sebagai “tempat kejadian”.
Gangguan seksual di sekolah biasanya berlaku antara guru dan pelajarnya sendiri atau dalam kalangan pelajar itu sendiri.
Antara jenis-jenis gangguan seksual di sekolah termasuklah perlakuan atau memberi isyarat lucah, memaksa atau mempengaruhi pelajar untuk membuat perlakuan seksual, melakukan sentuhan yang berbentuk seksual, menulis atau mempamer bahan bukan pengajaran yang berbentuk lucah dan sebagainya.
Kebanyakkan kanak-kanak yang menjadi mangsa terutamanya pelajar dari darjah 1 sehingga 6 adalah terlalu mentah untuk memahami dengan jelas bentuk gangguan seksual ini.
Lazimnya menurut kes-kes yang telah diputuskan di mahkamah, pelajar- pelajar ini tidak tahu bahawa perbuatan yang berunsurkan seksual itu merupakan suatu kesalahan dan akhirnya mereka tidak melaporkan kejadian tersebut kepada ibu bapa atau guru-guru yang lain di sekolah.
Misalnya, sesetengah guru menggunakan alasan untuk memegang anggota sulit pelajar perempuan bagi tujuan untuk memeriksa pemakaian tuala wanita.
Hal ini adalah termasuk dalam kategori gangguan seksual dan guru tersebut boleh dikenakan tindakan lanjut.
Adalah penting disini untuk diingatkan bahawa hanya pihak-pihak yang mempunyai autoriti seperti pihak berkuasa seperti anggota polis yang perlu menjalankan siasatan boleh memegang mana-mana anggota badan seseorang dengan tatacara yang perlu dipatuhi.
Selain itu, kes-kes yang berlaku juga menunjukkan kebanyakan para pelajar yang menjadi mangsa di sekolah sering diugut agar tidak melaporkan kejadian yang berunsurkan seksual tersebut kepada sesiapa.
Disebabkan hal ini, mereka mempunyai perasaan takut dan akhirnya memilih untuk mendiamkan diri sahaja.
Oleh itu, dalam hal ini guru kaunseling wajib memainkan peranan dengan mengadakan suatu sesi persendirian dengan pelajar yang menunjukkan perubahan ketara pada diri mereka untuk mengetahui masalah yang dihadapi.
Seterusnya, beberapa laporan akhbar menunjukkan bahawa kebanyakkan kes-kes gangguan seksual yang dituduh di bawah Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 telah berlaku di sekolah.
Menurut sebuah laporan akhbar tempatan, perlakuan seorang guru yang telah mencabul anak murid perempuan yang berumur 10 tahun berlaku di dalam sebuah bilik kokurikulum di sekolah dengan cara memegang di bahagian paha, dada dan alat sulitnya[1], Sebuah lagi kes yang dilaporkan yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Ampang, di mana seorang guru telah dibacakan 12 pertuduhan atas kesalahan melakukan aktiviti seksual terhadap 3 orang anak muridnya yang berumur dalam lingkungan 13 hingga 14 tahun dan hakim tidak membenarkan tertuduh untuk mengikat jamin[2].
Kedua-dua kes ini dituduh di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
Berdasarkan laporan kes-kes ini, kita dapat melihat betapa undang-undang negara kita mengambil serius kes-kes seperti ini yang berlaku terhadap para pelajar di sekolah yang membawa hukuman berat iaitu penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan.
Oleh itu, guru-guru di sekolah serta ibu bapa wajib memainkan peranan masing-masing dalam mendidik anak mereka mengenai jenis-jenis gangguan seksual yang biasanya berlaku.
Sebagai contoh, ibu bapa bukan sahaja harus mengawasi anak-anak mereka malah perlu mendidik mereka dengan menerangkan bahagian-bahagian anggota badan yang tidak boleh disentuh oleh mana-mana orang dan menerangkan bahawa perlakuan tersebut adalah suatu kesalahan.
Selain itu, para guru juga boleh membuat poster mengenai bahagian anggota badan yang tidak boleh disentuh, membuat ceramah dan kempen kesedaran di sekolah, dan lain-lain inisiatif dalam memberi didikan kepada para pelajar yang masih belum cukup umur.
Hukuman
Seksyen 16 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017 telah memperhatikan bilamana terdapat Perhubungan Amanah [Relationship of Trust] di antara tertuduh dan mangsa, maka suatu hukuman sebagai tambahan dari hukuman di dalam pertuduhan kesalahan utama hendaklah dikenakan lagi ke atas pesalah tersebut.
Menurut seksyen ini, para pengajar sama ada di tadika, sekolah, dan di universiti adalah termasuk dalam kategori orang yang mempunyai pertalian yang diamanahkan.
Oleh yang demikian, hukuman yang dikenakan ke atas pesalah ini akan menjadi lebih berat disebabkan oleh perhubungan amanah tersebut.
Hal ini menunjukkan betapa seriusnya perlakuan gangguan seksual yang berlaku di sekolah antara guru dan pelajar di mana, sebagai seorang guru beliau mempunyai tanggungjawab dan amanah untuk mendidik anak muridnya menjadi insan yang berjaya dan bukan untuk memusnahkan hidup anak muridnya.
Adalah penting bagi sesebuah organisasi termasuk pihak sekolah untuk memahami dan bersikap lebih prihatin dalam menangani masalah ini.
Para pelajar yang mengalami gangguan seksual dalam apa cara sekalipun perlulah tampil membuat laporan kepada pihak polis, guru dan ibu bapa.
Mangsa disaran untuk tidak bimbang akan kerana banyak pihak yang akan membantu setiap pelajar yang mengalami masalah ini.
[1] Berita Harian , (18 Julai 2018) (https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/07/450813/guru-umur-53- tahun-ditahan-cabul-murid
[2] Harian Metro (17 Oktober 2019) https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/10/507955/guru-didakwa- amang-seksual-3-pelajar
Note: This article does not constitute legal advice to any specific case. The facts and circumstances of each case will differ and, therefore, will require specific legal advice. Feel free to contact us for complimentary legal consultation.
Comments